
oleh Ustaz Rohidzir Rais, Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR)
Dalam konteks semasa, kita lihat ramai ibu bapa yang semakin menaruh kepercayaan terhadap pendidikan tahfiz, tapi dalam masa sama ramai juga pihak tertentu yang mengecam dengan membangkitkan pelbagai tuduhan ada yang tidak berasas. Bagaimana ustaz melihat kedua-dua reaksi ini.Eskapisme! Itu jawapan paling tepat yang boleh saya katakan kepada pihak yang berasa terancam dengan kewujudan sekolah agama yang mendapat sambutan luar biasa daripada ibubapa seluruh negara walau pun dengan prasarana yang jauh lebih rendah daripada sekolah bantuan kerajaan. Persoalan yang sepatutnya dikaji adalah apakah kekurangan yang terdapat pada sekolah aliran perdana hingga ibubapa enggan mempertaruhkan masa hadapan anak-anak mereka di sana, tetapi memilih sekolah tahfiz. Lebih menarik, majoriti ibubapa ini adalah mereka yang berpelajaran tinggi dari golongan pensyarah universiti, jurutera, doktor perubatan, pegawai kerajaan dan malah guru-guru yang mengajar di sekolah aliran perdana. Kegagalan pembentukan akhlak dan iman di sekolah kebangsaan adalah faktor utama yang menakutkan para ibubapa.
Mencari kesalahan dan kelemahan sekolah agama tidak akan menjustifikasikan kebejatan akhlak dalam kalangan pelajar sekolah kebangsaan, sekali pun disembunyikan. Sekiranya pihak Kementerian Pendidikan mampu menyingkirkan faktor ini, mereka tidak perlu lagi berasa tercabar dengan sekolah-sekolah agama persendirian yang serba kekurangan ini. Namun cubaan penerapan nilai-nilai Islam dan akhlak semata-mata tidak mampu menangani masalah ini dan ia hanya menjadi kosmetik bukan penyelesaian. Punca utama kegagalan ini adalah kerana prinsip asas pendidikan aliran ini adalah sekularisme dan dualisme yang memisahkan pelajaran agama Islam dengan subjek-subjek yang lain.
Kerana itu, walau pun subjek Pendidikan Agama Islam, Bahasa Arab dan malah Tahfiz dimasukkan ke dalam silibus mereka, tetapi ia gagal diterapkan ke dalam subjek Sains, Matematik, Sejarah dan lain-lain. Kegagalan yang sama berlaku kepada sekolah integrasi dan tahfiz sains, kerana ia menjadikan subjek agama sebagai tempelan bukan asas utama.Sejak daripada sekolah rendah hingga menengah pelajar didoktrinkan agar belajar bersungguh-sungguh agar mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang demi mendapat peluang belajar di menara gading.
Di universiti pula, diperkenalkan istilah kebolehpasaran mahasiswa bagi mengukur kualiti dan prestij sebuah universiti. Lalu jadilah para pelajar ini seperti burung dalam sangkar yang belajar kerana terpaksa atau ikan di pasar yang belajar sekadar memenuhi tuntutan pekerjaan semata-mata. Konsep ini amat bertentangan dengan ajaran para tuan guru dan ustaz di sekolah agama yang membimbing pelajar bagi mencinta ilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajari. Natijahnya, pelajar sekolah agama belajar dengan rela hati walau pun berhadapan dengan subjek yang berkali ganda lebih banyak dan sukar daripada sekolah biasa. Mereka juga mempunyai jadual pengajian yang padat hingga 10 jam sehari dengan jumlah cuti yang amat sedikit. Tetapi mereka mengharunginya dengan bahagia seperti ikan yang berenang di dalam air.Inilah sebahagian keindahan sistem pendidikan Islam yang tidak dimiliki oleh sekolah kebangsaan dan hanya difahami oleh mereka yang pernah melalui sistem seperti ini.
Bagi saya sendiri yang mengikuti sekolah kebangsaan selama 11 tahun sebelum berpindah ke sekolah pondok, tahfiz dan Universiti al-Azhar, lebih memahami perbezaan kedua-dua aliran ini.
Bahagian 5: SINAR menawarkan peluang mengungguli Bahasa Arab dan subjek Diniah dan melanjutkan pelajaran ke luar negara tanpa SPM!
0 Comments