PENINGKATAN MINHAJ BARU SINAR 2025, Bagi Memaksimumkan Kecemerlangan dan Kepelbagaian Bidang Ilmu

Written by rohidzir.rais@gmail.com

On 08/08/2025

Bermula minggu lepas, Sekolah Islam Nur al-Azhar – SINAR, telah memulakan kokurikulum atau minhaj baru yang membawa perubahan drastik dalam pembelajarannya. Yang pasti, ia juga akan memberikan kesan yang besar kepada hasilnya, iaitu kemenjadian pelajar-pelajar dalam bidang yang pelbagai.

SINAR sudah mempunyai silibus yang kemas yang dilaksanakan sejak sepuluh tahun lalu dan menyaksikan kejayaan pelajar-pelajarnya di Universiti al-Azhar. Penguasaan Bahasa Arab yang cemerlang menjadi mercu tanda kepada lepasan SINAR dan ini dapat dilihat kepada keputusan peperiksaan mereka di Universiti al-Azhar setiap tahun. Bagi semester pertama sahaja, pelajar-pelajar telah lulus dengan amat cemerlang. Terdapat pelajar yang mendapat Mumtaz dalam semua lapan subjek yang diambilnya. Juga ada yang mendapat 6 Mumtaz dan 2 Jayyid Jiddan.

Nama pelajar-pelajar SINAR kini berada pada kedudukan teratas dalam semua bidang. Alhamdulillah.

Namun, saya secara peribadi belum berpuas hati dengan pencapaian ini dan sentiasa merasakan bahawa SINAR boleh mencapai kejayaan lebih baik. Lalu apabila Perjanjian Kerjasama di antara SINAR dan Al-Azhar dimaterai dengan tawaran luar biasa dan di luar jangkaan saya, SINAR perlu berubah dengan segera. SINAR bukan hanya ditawarkan oleh al-Azhar untuk menghantar pelajar terus ke tahun satu universiti dalam bidang Syariah, Usuluddin dan Kesusasteraan Arab, tetapi juga kebidang lain termasuk Perubatan, Kejuruteraan, Fizik, Kimia, Biologi, Akauntan, Pendidikan, Pertanian dan beberapa fakulti lagi di bawah al-Azhar.

Saya terdiam dan memejam mata rapat-rapat, kerana sukar mempercayai apa yang saya dengar. Bermimpikan aku. Kerana sedar anugerah ini adalah sesuatu yang besar. SINAR menjadi sekolah pertama di Malaysia yang ditawarkan peluang ini. Tetapi saya sedar, peluang ini hadir bersama tugas dan tanggungjawab yang menggunung. Dan semuanya perlu dipikul di atas pundak ini yang semakin lelah.

Saya percaya ini adalah anugerah Allah yang tidak akan diberikan jika dia tahu saya dan SINAR tidak mampu. Dan jika ada sekolah yang mampu memikul tanggungjawab ini, SINAR adalah sekolah itu.

Pertama, masa mengajar harian ditambah daripada sepuluh jam sehari kepada 12 jam setengah sehari. Sepuluh jam sehari adalah tempoh masa yang sudah cukup lama dan tidak mampu dilakukan oleh mana-mana sekolah. Tetapi SINAR telah melakukannya sejak awal. Malah, sebenarnya pada tahun-tahun awal penubuhan SINAR, jadual waktunya adalah 12 jam!

Dan demi mencapai standard baru yang ditetapkan, SINAR kembali kepada jadual lama dengan tambahan setengah jam. Siapa sangka, usaha yang pernah berjaya dahulu, kira terasa amat sukar untuk diulangi.

Kedua, subjek-subjek yang sebelum ini menjadi sampingan kepada subjek-subjek utama berkaitan Bahasa Arab dan ilmu syariah, kini perlu digerakkan sama rata. Kerana itu, dalam jadual baru, subjek-subjek ini telah dinaikan tempoh pengajarannya secara mingguan:

1. Bahasa Inggeris, daripada sejam setengah seminggu, menjadi empat jam seminggu. Kelas terbahagi kepada tiga tahap berbeza. Saya membimbing kelas A yang pelajar-pelajarnya mempunyai asas lebih baik. Sasarannya adalah agar mereka mampu membaca teks akademik dalam Bahasa Inggeris, mampu berinteraksi dan menulis dalam bahasa ini dengan cemerlang. Masa mengajar ini mungkin sama dengan sekolah kebangsaan atau lebih tinggi.

2. Matematik, bagi kelas dalam bahasa Melayu, terdapat tiga peringkat dan daripada sejam setengah, ia dinaikan kepada empat jam seminggu. Dan bagi pelajar kelas A dan B+, mereka juga mempunyai subjek Matematik dalam Bahasa Arab selama dua jam, menjadikana masa mereka enam jam untuk matematik yang jauh lebih tinggi daripada sekolah kebangsaan.

3. Sains, Biologi, Fizik dan Kimia, bagi kelas umum, semua pelajar mempunyai empat jam seminggu untuk kelas dalam Bahasa Melayu. Tetapi untuk kelas A dan B+ mereka mempunyai subjek yang sama dalam Bahasa Arab, iaitu Biologi (الأحياء), Kimia (الكيمياء) dan Fizik (الفيزياء), tambahan dua jam untuk setiap subjek menjadikan keseluruhan enam jam dan ditambah dengan enam jam menjadi 12 jam seminggu. Jauh menandingi masa yang diperuntukkan untuk sains di sekolah kebangsaan. Bagi subjek dalam Bahasa Arab, saya mengajarkan kepada pelajar. Bayangkan orang sastera mengajar Biologi, Fizik dan Kimia, dan dalam Bahasa Arab pula. Allahu… terasa beban yang terlalu berat dan sukar. Tetapi menarik juga untuk diterokai.

4. Kefahaman al-Quran, subjek unik ini telah ditambah kepada enam jam daripada tiga sebelum ini. Untuk tiga kali pertemuan setiap minggu saya membahaskan juzuk ke-27, ke-4 dan ke 14. Penambahan ini bagi membolehkan saya mengkhatamkan 30 juzuk dengan lebih pantas. Kelasnya pula diadakan dalam slot Kuliah Sebelum Subuh yang bermula jam 5.30 pagi sehingga 7.30 pagi.

5. Tauhid Saintifik, juga subjek penting dalam usaha Islamization of Knowledge dan daripada sejam setengah menjadi empat jam dengan dua slot. Slot pertama adalah Tauhid Saintifik: Ayat-Ayat Kauniyah, yang menumpukan kepada tafsir ayat-ayat al-Quran yang mengandungai fakta sains. Kedua, Tauhid Santifik: Pohon Peradaban, yang membahaskan sejarah ketamadunan Islam, ilmuwan yang melakarkan sejarah dunia dalam bidang sains. Subjek ini istimewa kerana sejarah dan al-Quran saintifik tidak diajarkan di mana-masa sekolah sains.

Tidakkah minhaj baru ini menyebabkan SINAR meninggalkan perjuangan asal dalam pendidikan agama dan Bahasa Arab?

Usah bimbang, Bahasa Arab tetap menjadi keutamaan di SINAR. Untuk subjek bahasa Arab dan subjek yang menggunakan Bahasa Arab bagi kelas A sahaja diperuntukkan 54 jam seminggu. Semua subjek agama tidak dikurangkan masanya dan kekal dengan matlamat yang sama. Cuma kali ini, pelajar perlu menguasai kedua-dua bidang.

Jika berjaya silibus baru SINAR ini, hasil paling lengkap akan dapat dinikmati dalam tempoh tiga tahun lagi. Tempoh yang pantas sebenarnya kerana silibus pendidikan biasanya memerlukan 10 tahun untuk melihat hasilnya. Insyallah, selepas tiga tahun, SINAR bersedia menghantar pelajar-pelajarnya ke Universiti al-Azhar dalam bidang Perubatan, Kejuruteraan, Fizik, Biologi, Kimia dan lain-lain. Dalam tempah 15 ke 20 tahun kemudiannya, Malaysia akan menyaksikan doktor bedah yang mengubati fizikal pesakit pada waktu siang dan mengubati jiwa jemaah melalui kuliah pada waktu malam. Juga ahli fizik yang mengajarkan kepada pelajarnya bahawa alam ini diciptakan oleh Allah dan mengajak masyarakat melihat alam ini dengan pandangan iman. Atau ahli biologi yang menolak dan menentang keras Teori Evolusi dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.

Wallahu A’lam, apakah perancangan Allah kepada saya dan SINAR. Demi mencapai tujuan ini, waktu mengajar saya juga telah ditingkatkan kepada 41 jam seminggu dan mungkin akan bertambah. Bererti saya mengajar 164 jam seminggu! Hanya dengan kekuatan daripada Allah saya mampu melakukannya.

Pun begitu, silibus ini tetap juga berhadapan dengan dua masalah terbesar:

1. Guru, SINAR masih kekurangan tenaga pengajar yang mampu mengajar dan memimpin pelajar dan cukup lasak untuk mengajar dalam tempoh yang lama. Dalam masa yang sama juga guru tidak boleh selesa dengan ilmu yang ada, perlukan peningkatan. Saya sedang merangka beberapa penyelesaian kepada masalah ini. Insyallah, boleh diselesaikan dengan mendapatkan guru yang lebih lasak.

2. Pelajar Bijak, ini masalah paling besar dan sukar diatasi. SINAR bukan untuk semua pelajar. Dan dengan peningkatan silibus ini pula, pelajar semakin sukar mengikutinya. Kerana itu, pencarian pelajar yang bijak dan sanggup belajar 12.5 jam sehari selama 300 hari setahun adalah ibarat mencari jarum dalam serami padi! SINAR perlu memikirkan pengambilan pelajar luar yang memenuhi kriteria yang diperlukan.

Ustaz Rohidzir Rais

Pendiri & Mudir SINAR

12 Mac 2025

sumber asal:
https://www.facebook.com/share/p/1C3pb3k6Jw/

Kategori Artikel

Follow Us

Divi.

Quisque velit nisi, pretium ut lacinia in, elementum id enim.

Kongsi Artikel Ini

You May Also Like…

SEMINAR SINAR AZHARI 2025

SEMINAR SINAR AZHARI 2025

Membumikan Syariat Tuhan dalam Setiap Ranah Kehidupan Manusia Idea pelajar-pelajar muda membentangkan kajian mereka di dalam dewan kuliah universiti di hadapan orang awam, pelajar dan mungkin pensyarah, telah lama ada sejak Sekolah Islam Nur al-Azhar mula ditubuhkan....

SEMINAR MUAMALAT KONTEMPORARI SINAR 2025

SEMINAR MUAMALAT KONTEMPORARI SINAR 2025

Luar Biasa... Itu ungkapan yang boleh saya berikan kepada barisan pembentang Seminar Muamalat Kontemporari SINAR 2025 yang menamatkan acara pada jam 11 malam. Mereka telah memulakan progam ini pada jam 9.30 pagi ini. 20 orang pelajar dari kelas Mutafauwiq Awwal,...

Syarat Pengambilan Pelajar Baru SINAR 2022

Syarat Pengambilan Pelajar Baru SINAR 2022

https://youtu.be/GEU5Nwla7og Apakah syarat yang diperlukan bagi membolehkan seorang itu diterima sebagai pelajar SINAR? Soalan yang paling kerap ditanyakan. Memandangkan matlamat pengajian di SINAR adalah membentuk ilmu dan akhlak yang tingggi dalam diri pelajar, lalu...

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *