Surat Terbuka kepada Sheikh al-Azhar, Yang Mulia Dr. Ahmad al-Tayyib, mengenai Pembantaian Genosid di Gaza dan Palestin

Written by rohidzir.rais@gmail.com

On 08/08/2025

30 Muharam 1447 H / 25 Julai 2025 M

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Yang Mulia Sheikh Dr. Ahmad al-Tayyib, Sheikh al-Azhar yang dihormati,

Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Kami mengutuskan surat ini dari lubuk hati kami, sebagai penghargaan terhadap pendirianmu yang prinsipil dan berani, serta keyakinanmu yang kukuh dalam menentang kezaliman dan pencerobohan yang menimpa kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang-orang yang tertindas di Gaza dan Palestin. Kata-kata, kenyataan, pendirian dan fatwa-fatwa yang telah anda dan institusi al-Azhar keluarkan dalam menghadapi serangan rejim Zionis terhadap saudara-saudara kita di Gaza dan Tebing Barat akan sentiasa terpahat dalam sejarah. Pendirian ini telah meninggikan lagi martabat al-Azhar dengan institusi keilmuannya yang berwibawa dan rakyat Mesir yang agung dengan segala komponennya, lalu menjulangnya ke darjat yang tinggi dalam medan maruah, keberanian, kemuliaan dan perjuangan.

Mesir yang tercinta, dengan al-Azhar, para ulamanya, pemimpinnya, rakyat dan institusinya yang tulen, adalah benteng kemuliaan Islam. Rakyat Mesir telah menjadi lambang keagungan Islam sejak dahulu. Tidak hairanlah pujian yang dilantunkan oleh Amir Syairwan Ahmad Syauqi (rahimahullah) terhadap al-Azhar menjadi bukti akan peranan sejarahnya dalam pendidikan, dakwah, pembinaan dan perjuangan menegakkan kebenaran serta membela yang tertindas:

قُم في فَمِ الدنيا وحَيّ الأزهرا

وانثر على سمع الزمان الجوهرا

واخشع مليًّا، واقضِ حقّ أئمةٍ

طَلعوا به زُهراً، ومَاجو أَبحُرا

زمن المخاوفِ كان فيه جَنابهُم

حَرمَ الأمان، وكان ظِلهم الذَرا.

Wahai Sheikh al-Azhar yang mulia,

Umat ini telah menimba ilmu dari tuan, menyelami kitab-kitab, karya dan fatwa para ulama serta fuqaha al-Azhar. Para penuntut ilmu berlindung di bawah naungan al-Qur’an, tafsir, fiqh, aqidah, bahasa Arab, kesusasteraan tinggi, dan pemahaman terhadap unsur-unsur tamadun dan kekuatan umat. Semua itu telah menjadikan al-Azhar terkenal ke seluruh pelusuk dunia, dan setiap tahun terus melahirkan pendakwah, ilmuwan dan guru-guru yang menyebarkan ilmu ke seluruh pelosok dunia.

Wahai Sheikh al-Azhar,

Para pendahulu anda sepanjang sejarah telah bangkit membela kebenaran dan mempertahankan umat Islam. Ini bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat Mesir yang merupakan wasiat Rasulullah ﷺ kepada para sahabatnya: “Sesungguhnya kamu akan menakluk Mesir, maka perlakukanlah penduduknya dengan baik.” Bukti kebaikan rakyat Mesir terserlah ketika mereka bangkit menentang serangan Mongol dan meraih kemenangan besar dalam Perang ‘Ain Jalut, hasil dari pandangan dan fatwa yang tepat oleh al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam (rahimahullah), yang menyokong Sultan Qutuz dalam menghadapi musuh Islam.

Kita tidak melupakan peranan besar al-Azhar dalam menghadapi penjajahan Perancis era Napoleon Bonaparte (1798–1801M), dan pengorbanan rakyat Mesir di belakang pimpinan al-Azhar yang penuh dengan jihad dan keberanian. Begitu juga ketika menentang penjajahan Inggeris serta dalam gelombang revolusi rakyat Mesir pada tahun 1806, 1882, 1919 dan 1952 yang semuanya dipimpin oleh para ulama al-Azhar dengan fatwa jihad dan bimbingan spiritual mereka.

Para ulama al-Azhar juga berdiri teguh menentang Zionisme sejak awal projek penempatan Yahudi di Palestin semasa penjajahan British. Demonstrasi tahun 1929 yang dipimpin Sheikh Mustafa al-Maraghi (rahimahullah) sebagai reaksi terhadap slogan Yahudi “Tembok Buraq milik kami”, menjadi bukti keberanian al-Azhar. Begitu juga dengan gerakan besar-besaran yang dikepalai para ulama ketika menentang cadangan pembahagian Palestin oleh Suruhanjaya Diraja British pada tahun 1937.

Mereka juga memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat rakyat Mesir ketika Perang Oktober 1973 melawan Zionis, khususnya melalui peranan Sheikh ‘Abd al-Halim Mahmud (rahimahullah) yang membina kesedaran dan sokongan rohani kepada kerajaan dan rakyat Mesir.

Sheikh al-Azhar yang mulia,

Allah telah memberikan kepada anda amanah yang besar dalam mengetuai institusi al-Azhar, dan anda adalah orang yang layak, insya-Allah, untuk memikul tanggungjawab itu demi membela prinsip dan nilai negara Mesir yang agung serta umat Islam seluruhnya. Harapan orang-orang yang dizalimi di Palestin, dan para pencinta keadilan di seluruh dunia kini bergantung kepada keberanianmu dan semangat rakyat Mesir yang mulia, agar kamu semua dapat memainkan peranan yang besar dalam menolak kezaliman dan membela mereka yang tertindas. Pahala di sisi Allah sangat besar untuk mereka yang menolong orang yang dizalimi.

Wahai Sheikh al-Azhar,

Betapa besar kesan kenyataan dan fatwa tuan terhadap peristiwa mutakhir di Gaza? Kata-kata tuan telah menjadi suara yang lantang dan teguh dalam menyuarakan penderitaan rakyat Palestin, dengan ketepatan bahasa yang menyentuh hati dan menyedarkan akal akan hakikat kezaliman dan malapetaka yang berlaku. Antara kenyataan berani yang tuan sebut:

1. “Sejarah tidak akan mengampuni mereka yang lalai dan berpaling dari menolong Palestin.”

2. “Setiap penjajahan pasti akan lenyap – cepat atau lambat.”

3. “Saya menyeru kepada seluruh rakyat dan pemimpin dunia untuk menolong rakyat Palestin yang sedang disasarkan, terutama wanita dan kanak-kanak.”

4. “Saya menyeru dunia supaya berhenti dari bersikap berat sebelah dan menyokong pembunuhan rakyat Palestin.”

5. “Dunia masih diam dalam aib terhadap keganasan Zionis dan pelanggaran terhadap Masjid al-Aqsa serta saudara-saudara kita di Palestin.”

6. “Pencerobohan Masjid al-Aqsa dan serangan terhadap para jemaah adalah keganasan Zionis yang keji dalam diamnya dunia yang memalukan.”

7. “Penduduk penempatan haram adalah perampas dan penceroboh – mereka bukan orang awam.”

8. “Para pemimpin Arab berkata mereka mahu Barat menekan Israel, saya katakan, bahkan kamu yang sepatutnya menekan Barat dengan memutuskan hubungan, menarik pulang duta, menghentikan bekalan minyak dan lainnya – barulah Barat akan merasa tertekan lalu menekan Israel.”

Sheikh yang kami muliakan,

Mesir dengan rakyat dan institusinya yang teguh, bersama suara kemanusiaan tuan yang bersumber daripada nilai spiritual dan akhlak Islam, sangat memerlukan bimbingan tuan dalam membangkitkan kekuatan rohani dan akhlak bagi menyokong rakyat Gaza. Mereka juga menantikan fatwa yang membela mereka dari bencana hukuman kolektif yang kejam ini.

Wahai Sheikh al-Azhar,

Umat ini memerlukan fatwa yang mewajibkan berdiri di sisi jiran yang dizalimi, membolehkan pembukaan laluan bantuan makanan, air, ubat-ubatan dan merawat mangsa luka, serta menggali segala saluran – lahiriah dan batiniah, tempatan dan antarabangsa. Tiada halangan bagi negara tuan untuk menunaikan kewajiban ini yang bersifat insani, syar’i dan akhlaki.

Wahai Sheikh al-Azhar,

Relakah tuan – atau mana-mana rakyat Mesir yang berjiwa merdeka – membiarkan sejarah mencatatkan mereka sebagai orang yang berpaling dari penderitaan rakyat Gaza hanya kerana takut kepada rejim Zionis dan sekutunya? Apa akan tuan jawab kepada Allah jika lalai menolong mereka dengan segala upaya, sedangkan rakyat Mesir berada di belakang tuan mendokong kebebasan dan menghentikan sekatan?

Wahai Sheikh kami,

Hati nurani rakyat Mesir menolak segala bentuk kezaliman. Maka jadilah tuan suara nurani mereka, penunjuk arah pemimpin mereka, dan beranilah melangkah dari kata-kata ke tindakan nyata, dengan menyampaikan nasihat kepada kepimpinan Mesir, dan mengeluarkan fatwa yang menegaskan kewajiban menolong rakyat Palestin, membuka sekatan Gaza dan menyalurkan bantuan kemanusiaan tanpa ragu.

Mesir dengan sejarah, rakyat dan kedudukannya tidak seharusnya takut kepada penjenayah dan pembunuh dari kalangan pengikut syaitan. Mereka telah pun kalah di dalam hati dan nurani mereka, dan tipu daya mereka sangat lemah, sebagaimana firman Allah:

{إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا}

[Surah al-Nisā’: 76]

Wahai Sheikh al-Azhar,

Sesungguhnya kami khuatir ke atas Mesir, pemimpinnya dan rakyatnya, agar tidak ditimpa kemurkaan Allah akibat kealpaan dan kegagalan menolong saudara-saudara mereka yang dizalimi. Sesungguhnya sunnah Allah adalah tetap – bahawa murka Allah terhadap orang kuat yang gagal menolong orang lemah adalah lebih berat daripada ujian yang ditimpakan ke atas mereka yang dizalimi.

Wahai Sheikh yang mulia,

Allah telah mengurniakan kepada tuan satu tugas besar dan jihad yang agung dalam usia tuan kini. Maka bertawakallah kepada-Nya, mohonlah pertolongan daripada-Nya, ikhlaskanlah niat demi-Nya, dan semoga tuan tergolong dalam kalangan yang dimenangkan oleh-Nya. Sesungguhnya perjuangan tuan untuk menegakkan keadilan di Gaza adalah satu ibadah dan pendekatan diri yang sangat besar nilainya di sisi Allah.

Semoga Allah menerima amal tuan, mengangkat nama tuan, dan membalas jasa tuan demi Mesir, rakyat yang tertindas di Gaza dan seluruh umat manusia.

Kita akhiri dengan firman Allah:

{الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ (173) فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ لَمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللَّهِ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ (174) إِنَّمَا ذَلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ}

[Surah Āli ʿImrān: 173–175]

Akhir kalam, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.

Dr. ʿAlī Muḥammad al-Ṣallābī

Setiausaha Agung, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia

Prof. Dr. ʿAlī Muḥyiddīn al-Qaraḍāghī

Presiden, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia

#Gaza#AlAzhar#KesatuanUlamaMusliminSedunia

Surat terbuka ini amat penting sebagai mengiktiraf suara al-Azhar dalam memperjuangkan hak dan nasib Ghazzah, terutamanya keberanian Dr Ahmad Tayyib, Syeikhul-Azhar. Surat ini juga adalah sokongan rasmi Kesatuan Ulama Dunia kepada Azhar dalam menangani kemelut mereka dengan kerajaan sendiri.

Surat ini adalah suntikan semangat untuk semua pemimpin dan ulama Islam untuk meneruskan sokongan kepada Ghazzah dan mendesak kerajaan masing-masing untuk bertindak.

Jangan ada Azhar atau lelasan Universiti Azhar yang menikam dsri belakang terhadap institusi yang pernah memayungi mereka hanya kerana kesetiaan mereka kepada pemimpin yang zalim.

sumber asal –
https://www.facebook.com/share/p/194gXex21T/

Kategori Artikel

Follow Us

Divi.

Quisque velit nisi, pretium ut lacinia in, elementum id enim.

Kongsi Artikel Ini

You May Also Like…

DUALISME DALAM ILMU

DUALISME DALAM ILMU

"Tanggapan terhadap dakwaan sebahagian pihak yang mengatakan bahawa agama bukanlah ilmu, dan bahawa berbicara mengenai agama adalah hak semua orang, sementara berbicara mengenai ilmu hanya terhad kepada para pakar. Yang Berhormat Imam Besar, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib,...

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *