Tulisan Jawi dibunuh ketika Khair Johari menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1966 dan dikembalikan oleh anak sorang ulama dan lepasan pengajian pondok, Almarhum Abdullah Badawi. Hanya enam tahun diperlukan oleh seorang Perdana Menteri yang mempunyai asas pengajian Islam yang kukuh bagi mengembalikan Jawi dan al-Quran kepada generasi muda. Jika anda melihat anak-anak dan pemuda hari ini boleh membaca al-Quran walau pun tidak masuk ke sekolah agama, ingatlah kepada jasa PM ke-5 ini.
Bagi saya sendiri, yang menghadapi zaman Jawi telah mati dalam sistem pendidikan, saya tidak boleh membaca Jawi dan al-Quran. Sebahagian besar rakan yang lain juga sama. Jika ada yang boleh membaca adalah kerana mengaji di rumah atau dengan imam di kampung. Alangkah malangnya kami. Hidup tanpa boleh membaca al-Quran adalah penderitaan yang dahsyat.
Pelaksanaan program j-QAF (Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain) merupakan antara legasi penting yang ditinggalkan oleh Almarhum Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dilancarkan pada tahun 2004, matlamat utama program ini adalah untuk memperkasakan pendidikan agama Islam di peringkat sekolah rendah dengan harapan agar setiap pelajar dapat khatam al-Quran selewat-lewatnya pada tahun enam.
Melalui pendekatan inovatif, tulisan Jawi dihidupkan semula dalam sistem pendidikan menerusi kaedah permainan, lagu, multimedia dan pendekatan kreatif lain yang berjaya menarik minat pelajar. Pembelajaran al-Quran pula dilaksanakan secara sistematik dengan menggunakan Model Enam Bulan Khatam al-Quran, serta pendekatan Talaqqi Musyafahah, yang membantu pelajar menguasai bacaan al-Quran dengan lebih lancar dan tepat.
Program tambahan seperti Kem Literasi al-Quran (KLAQ) telah membuktikan keberkesanannya dalam menangani masalah murid yang lemah membaca al-Quran. Selain itu, kempen kesedaran seperti Kempen Smart Salam pula membantu dalam pembentukan sahsiah serta adab Islami yang mantap di kalangan generasi muda.
Namun, amat malang apabila selepas tahun 2016 program j-QAF ini menghadapi zaman suram dan tidak diteruskan di peringkat sekolah menengah. Kesan negatifnya sangat jelas, terbukti melalui kajian oleh JAKIM yang mendapati kira-kira 23 hingga 25 peratus pelajar menengah rendah menghadapi masalah serius dalam penguasaan asas agama seperti mengucap syahadah, membaca al-Quran, menulis Jawi, memahami rukun Islam serta mengabaikan solat lima waktu.
Sekali pun ada yang mendakwa telah ada program lain bagi menggantikannya, tetapi keberkesanan program ini tidak sepatutnya dibazirkan. Anehnya di Malaysia, setiap pemimpin akan membatalkan idea pemimpin yang lain dan memperkenalkan idea dan jenama yang baru. Ia kerugian yang besar.
J-QAF juga berjasa dalam membawa masuk ramai asatizah lepasan Al-Azhar ke dalam Kementerian Pelajaran Malaysia yang memberikan tenaga pakar yang besar dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Selain fikrah dan akhlak serta kemahiran tinggi lepasan Azhar memberikan manfaat besar kepada pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan generasi Islam khususnya dalam konteks cabaran liberalisme dan Revolusi Industri 4.0 yang mengancam jati diri pelajar Melayu-Islam jika tidak dilengkapi dengan asas agama yang kukuh. Oleh itu, amat penting agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah serius dengan menghidupkan semula program j-QAF terutama di peringkat menengah rendah.
iGuru menyarankan agar KPM memberi nafas baharu kepada Bahagian Pendidikan Islam supaya memainkan peranan yang lebih besar dalam memperkasakan pendidikan agama. Penekanan jelas terhadap pendidikan Islam juga harus dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 agar pembinaan sahsiah generasi muda Islam benar-benar dapat dilaksanakan secara komprehensif.
Justeru, adalah amat wajar kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan semula program j-QAF demi memelihara kesinambungan legasi positif Almarhum Abdullah Badawi dalam mendidik generasi Islam yang seimbang, berakhlak mulia dan berdaya saing.
Semoga Almarhum ditempatkan bersama orang soleh dan setiap bacaan al-Quran dan solat serta ibadah yang dilakukan oleh beratus ribu pelajar dan bekas pelajar yang mendapat manfaat dari idea beliau, juga mengalir sebagai pahala yang berterusan.
Amin
sumber asal:
https://www.facebook.com/share/p/16SH2wNGWh/
0 Comments