
Kita memerlukan 65 tahun untuk berani membakar bendera penjajah British!
Perkara pertama yang menarik perhatian saya dalam poster filem Mat Kilau adalah gambar bendera British yang dibakar. Ia memberikan gambaran awal bahawa filem ini membawa naratif yang berbeza daripada filem-filem perjuangan sebelum ini. Mungkin ini adalah pertama kalinya sebuah filem Melayu berani meletakkan orang Inggeris sebagai watak antagonis/ penjahat atau lebih tepat sebagai penjajah yang jahat.
Filem Leftenan Adnan dan Bukit Kepong sebaliknya menggambarkan kejahatan penjajah Jepun tetapi sangat lunak terhadap penjajah Inggeris. Seolah-olah menggambarkan tanpa British orang Melayu tidak akan mampu merdeka. Sehingga lupa bahawa mereka juga adalah penjajah!
Memberikan analogi tahaluf siasi antara Pas dan DAP bagi situasi Leftenan Adnan juga adalah analogi yang salah. Kerana Regimen Melayu berada di bawah kerajaan British dan ketaatan mereka adalah kepada British. Sedangkan tahaluf politik tidak melibatkan pergabungan dua parti. Begitu juga kesnya apabila para pejuang ulama bekerjasama dengan Komunis bagi menentang Inggeris, hanya kerana mereka memiliki musuh yang sama. Ia tidak bererti ulama telah mengiktiraf komunisme yang sesat, sebagaimana fitnah yang dilemparkan kepada mereka oleh orientalis.
Mungkin minda terjajah Melayu masih berpegang kepada prinsip “We will suffer if British go!” masih kental dalam jiwa. Atau mungkin kerana kita belum sepenuhnya merdeka.
Apa pun keberanian filem ini menggambarkan penjajah sebagai penjajah wajar dipuji. Ia terbukti bebas daripada pengaruh orientalis yang mengubah sejarah. Kerana itu tidak hairan Leftenan Adnan yang berjuang di bawah bendera British dan mengorbankan diri dan pasukannya demi memberikan peluang pegawai-pegawai Inggeris melarikan diri dari serangan Jepun, dinobatkan sebagai wira negara.
Sebaliknya, dalam buku-buku sejarah pada zaman saya belajar dahulu, tokoh-tokoh ulama yang berjuang menentang Inggeris dilabelkan sebagai penderhaka dan pengkhianat. Ini termasuk Maharajalela, Tok Janggut dan lain-lain. Lalu generasi awal selepas mereka telah didokstrinkan bahawa ulama adalah penderhaka sementara orang Melayu yang bersengkongkol dengan Inggeris dianggap sebagai pejuang kemerdekaan.
Mungkin bagi mereka yang mengkaji kembali sejarah, fakta ini telah lama diubah. Tetapi untuk menonjolkannya kepada orang awam tentang kesilapan fakta ini adalah perkara yang sukar. Berdasarkan pengalaman melakukan kembara buku sejarah bersama Dr Mat Rofa Ismail, mengesahkan perkara ini.
Kerana itu, apabila ia muncul dalam bentuk filem popular yang mengangkat ulama pejuang sebagai wira, ia adalah pemulaan yang baik dan hebat. Tidak mustahil selepas ini lebih banyak filem-filem yang mengangkat ulama yang memperjuangkan tanah air daripada penjajahan kuffar ini difilemkan. Sehingga nanti bangsa Melayu akur bahawa para ulamalah yang sebenarnya mengetuai pemberontakan dan perjuangan melawan penjajah. Bukan hanya di Tanah Melayu, tetapi juga seluruh dunia. Ia mengingatkan saya kepada filem Umar Mokhtar, The Lion Desert.
Rohidzir Rais
Guru Sejarah SINAR
Tahrir, Kaherah
7.48 AM
0 Comments