28 JAN 2011/ JUMAAT
Saya bersama seorang rakan, Imran Azmi, memulakan perjalan menaiki kereta api ke Alexander pada jam 12 tengah hari. Kami menaiki gerabak kelas dua bersama dengan tujuh orang pelajar wanita Malaysia yang belajar di Alexander. Hari ketiga kami di Bumi Kinanah selepas semalam menjelajahi celah-celah Masjid al-Azhar bagi menjejaki penerbit-penerbit Arab. Ekoran penangguhan Pesta Buku Antarabangsa Mesir daripada 26 Januari ke 29 Januari, kami memilih berkunjung ke Alexander.
Kepanasan tunjuk perasaan rakyat Mesir sudah kami rasai ketika berada di Dubai lagi. Akhbar Gulf News bertarikh 26 Januari 2011, memaparkan gambar rakyat mesir sedang merusuh berhadapan dengan polis. Tajuk pada muka hadapannya, “Egypt’s day of rage.” Ketidakpuasan hari rakyat Mesir ini digambarkan sebagai youm al-ghadhab atau hari kemarahan. Matlamat mereka hanya satu, Mubarak mesti dijatuhkan!
Selepas turun daripada pesawat Emirate Airline dan dalam perjalan menaiki teksi mencari rumah sewa atau hotel, saya terpandang suasana ganjil di Mesir. Tembok-tembok yang biasanya menjadi tempat buang air kecil, kini tertulis pelbagai perkataan, lambang kemarahan. Antaranya, ‘freedom’, ‘layasquth mubarak’ (Mubarak mesti jatuh) dan pelbagai slogan menggambarkan kemahuan rakyat agar hak mereka dikembalikan. Lapan tahun dahulu, ketika saya menuntut di Mesir, fenomena seperti ini tidak mungkin kelihatan. Malah memperkatakan mengenai Mubarak juga kebanyakan pemandu teksi kelihatan takut-takut. Tetapi hari ini mereka memaki hamun Mubarak dengan pelbagai perkatan jelek.
“Apa sebenarnya yang berlaku dalam lapan tahun ini?” Saya bertanya sendiri.
“Tiada apa yang berubah di sini.” Kenyataan Imran megejutkan saya ketika teksi melalui jalan Abbas Aqad yang dikira kawasan elit dan dipenuhi kedai-kedai mewah.
Saya memerhatikan sekeliling kawasan Abbas Aqad, tempat saya bersama teman-teman berbelanja dahulu. Memang benar, tiada yang berubah atau bertambah, malah kelihatan semakin usang.
Rakyat Mesir tidak marah dengan apa yang berlaku dalam lapan tahun ini, tetapi mereka marah kerana apa yang tidak berlaku selama 30 tahun pemerintahan Mubarak!
Selepas melalui wilayah Tanta, tiba-tiba kami dikejutkan oleh suara pekikan di luar. Suara jeritan para penunjuk perasaan di sebuah jalan utama. Saya tidak dapat melihat dengan jelas kejadian tersebut kerana kereta api bergerak laju. Saya memegang erat kamera DSL, kecewa kerana tidak sempat merakam kejadian itu. Dalam masa yang sama saya masih hairan mengapa talian telefon bimbit saya dan Imran tidak ada. Beberapa kali saya cuba menghantar SMS kepada isteri di Malaysia tidak berjaya. Begitu juga dengan talian Internet yang tidak berfungsi sejak pagi tadi.

Berdasarkan perbualan bersama rakyat Mesir di atas kereta api, mereka memaklumkan yang kerajaan Mesir pimpinan Husni Mubarak menyekat semua talian telefon tetap dan mudah alih serta talian Internet. Sekatan yang diharapkan dapat memutuskan perhubungan rakyat yang menyertai tunjuk perasaan ini sebaliknya menambahkan lagi kemarahan mereka. Secara tidak langsung ia juga memberikan gambaran negatif kepada negara-negara luar. Sehari sebelum itu, kerajaan sudah cuba menghalang kemaraan rakyat dengan menyekat talian Facebook dan Twitter, namun membukanya kembali pada malamnya.
Selepas menukar kereta api, kami sampai ke kawasan Momtazah yang terletak berhampiran dengan pantai. Udara sejuk Iskandariah sudah mula terasa. Sejuk, namun menyegarkan. Cukup bagi mengembalikan kenangan indah di sini. Selepas selesai menyerahkan dua kotak barang kiriman daripada Malaysia untuk pelajar Malaysia di Alexander, kami meneruskan perjalanan ke destinasi utama kami, Perpustakaan Alexander.
Perpustakaan ini adalah perpustakaan yang terbesar di Timur Tengah. Ketika saya di tahun akhir Universiti al-Azhar di Damanhour, perpustakaan ini masih dalam proses pembinaan. Saya masih ingat, beberapa kali saya melalui kawasan ini dengan harapan dapat memasukinya suatu hari nanti. Selepas lapan tahun saya kembali semula bagi melunaskan impian yang sudah lama terpendam. Saya akan geledah perpustakaan itu habis-habisan dan berenang dalam lautan buku-bukunya.

Kami melalui persisiran pantai Laut Mediterenean yang mempunyai pantai yang cantik. Pasirnya putih gebu dan udaranya menyegarkan. Siapa tahu dalam kesegaran itu ada api sedang marak menyala di hadapan kami.
Selepas bergambar di persisiran pantai, kami mengambil teksi untuk ke perpustakaan yang saya kira hanya memakan masa 10 hingga 15 minit sahaja. Agak aneh apabila pemendu teksi meminta 30 pound bagi perjalanan yang sepatutnya dibayar 5 hingga 10 pound. Saya leka menekan kamera DSL merakam apa sahaja yang menarik dan cantik di kiri kanan jalan. Antara yang menarik perhatian saya ialah papan tanda bertulis ‘Saya rakyat Mesir dan saya menentang keganasan.’ Terdapat lambang bulan sabit dan salib yang diwarnakan dengan warna merah, putih dan hitam. Saya kira bulan itu melambangkan pengganut Islam dan salib pula mewakili pengganut Kristian yang kedua-duanya menjadi agama terbesar di Mesir.

Dalam perjalanan ke perpustakaan itu, tiba-tiba kami dapati terdapat ramai manusia di tengah jalan yang bergerak ke arah perpustakaan, selari dengan gerakan kami. Rusuhan!

Nafas saya bagaikan tersekat seketika ketika teksi yang kami naiki melalui kumpulan rusuhan ini. Namun saya gagahkan diri dan menggenggam erat kamera di tangan. Saya merakam dengan pantas situasi di kiri kanan teksi. Beberapa pemuda yang menyertai rusuhan tersebut menjerit-jerit kepada pemandu teksi dan ada yang menepuk kuat teksi tersebut. Berada di tengah api yang marak menyala ini, apa sahaja boleh terbakar!

Bersambung…
0 Comments