
Entah sejak bila polemik ini bermula tetapi ia menjadi seperti rutin untuk isu ini dibahaskan sehingga setiap kali masuk Ramadhan. Cuma pada tahun ini, golongan yang mengecam ibubapa yang melatih anak-anak mereka berpuasa kelihatan melampau, terutama mereka yang berlatarbelakangkan agama. Sehingga seolah orang awam yang baru mahu melatih anak-anak mereka berpuasa ke dalam kandang pesalah atau golongan tidak tahu agama dan zalim kepada anak-anak.Malah beberapa anjuran golongan ini juga melampau dan tidak berasaskan hukum fiqh, melainkan agakan dan telahan. Misalnya, apakah puasa tidak sah sekiranya tidak bersolat? Sedangkan puasa dan solat adalah dua ibadah berbeza. Dan meninggalkan solat tidak pernah dicatatkan sebagai perkara yang membatalkan puasa atau menafikan pahalanya. Jika benar pemikiran falasi seperti ini, lalu semua solat mereka yang belum membayar zakat dan menunaikan haji tidak sah!Apakah benar, kanak-kanak perlu diajarkan solat terlebih dahulu daripada berpuasa? Kononnya telahan mereka solat lebih utama daripada puasa sehingga seolah-olah satu kesalahan pula mempelajari puasa lebih dahulu daripada solat.Malah anggapan seperti ini juga menjauhkan orang yang mahu bertaubat dan masih belajar menjalankan ibadah-ibadah secara merangkak. Demikian juga muallaf.

Dalam sebuah hadis yang masyhur dan sahih dalam bab pendidikan solat, Rasulullah SAW mengarahkan ibubapa atau orang dewasa memerintahkan anak-anak bersolat sejak mereka berusia tujuh tahun dan sekiranya mereka masih enggan bersolat setelah usia mencapai 10 tahun, mereka perlu dirotan.Penulis-penulis kitab Al-Fiqh al-Manhaji pada bahagian Syarat Sah Solat pada syarat kedua iaitu berakal menyatakan bahawa puasa orang gila dan kanak-kanak belum mumayyiz adalah tidak sah. Tetapi puasa kanak-kanak belum baligh tetapi telah baligh sebaliknya sah walau pun tidak wajib. Mereka juga menyatakan bahawa kanak-kanak yang telah mumayyiz perlu diarahkan untuk berlatih berpuasa sejak usia mereka tujuh tahun dan boleh dirotan sekiranya masih tidak berpuasa ketika berusia 10 tahun. Mereka menyamakannya dengan solat.Persamaan antara kedua-dua ibadah ini ialah ia memerlukan latihan dan kebiasaan. Kerana itu, kedua-duanya perlu diajarkan serentak.

Malah bagi puasa, ia perlu diberikan perhatian kerana kita hanya berpuasa sebulan dalam masa setahun. Sedangkan solat boleh diamalkan sepanjang tahun.Kerana itu, orang dewasa yang ketika kanak-kanak dan remajanya tidak dilatih berpuasa juga tidak akan mampu melakukannya. Justeru tidak munasabah untuk mereka beranggapan bahawa kanak-kanak akan terdorong untuk berpuasa sendiri ketika berusia 10 tahun!Dan bagaimana anak-anak yang telah mencapai usia 10 tahun berpuasa jika mereka tidak diberikan latihan lebih awal? Sedangkan kanak-kanak lelaki hari ini sudah mula baligh pada usia 10 tahun dan lebih awal untuk kanak-kanak perempuan.Secaa peribadi, saya mengajarkan dua orang anak lelaki yang pertama dan kedua berpuasa pada usia lima dan empat tahun. Malah ketika itu juga mereka telah dilatih bersolat di masjid termasuk solat tarawih.
Anak ketiga mula berpuasa ketika berusia enam tahun dan anak perempuan yang berusia tujuh tahun telah mula berpuasa pada tahun ini. Alhamdulillah, mereka bersolat dan berpuasa dengan baik.Maryam Humaira, bersemangat bangun sahur seperti abang-abangnya tetapi terpaksa berbuka pada hari pertama kerana demam dan kembali berpuasa penuh hari ini. Anak-anak yang lain juga saya pastikan mereka bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan mengenyangkan dan minum air. Di Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) yang saya kendalikan, bersahur adalah wajib. Dan saya sendiri mengejutkan mereka.
Kunci utama dalam melatih anak berpuasa selain si bapa yang perlu memberikan motivasi dan galakan adalah si ibu yang bersedia menyiapkan juadah bersahur untuk keluarga. Masalah dalam keluarga muslim moden hari ini, si ibu tidak bersedia berkorban untuk anak-anak. Untuk bangun sahur sahaja tidak mampu.Saya menyeru kepada ibubapa untuk meneruskan latihan berpuasa kepada anak-anak dengan memberikan semangat kepada mereka. Bawa mereka berbuka puasa di masjid dan surau dan ajak mereka menunaikan solat fardhu dan solat tarawih. Inilah yang saya lakukan kepada anak-anak saya. Dan sehingga kini, ia menjadi kenangan yang indah.Anak kedua yang ketika itu berusia empat tahun, pernah tertidur ketika bersujud solat tarawih kerana mengantuk. Dia kini sedang menuntut di Mesir. Dan seorang lagi anak lelaki yang berpuasa pada usia lima tahun akan menyusur tahun ini.Semoga Ramadhan ini menjadi pusat latihan untuk kita semua meningkatkan ibadah.Salam Ramadhan dan selamat bertarawih.
Ustaz Rohidzir Rais
Abah anak empat dan akan bertambah insyalllah
Daurah Fiqh Puasa berdasarkan kitab Al-Fiqh al-Manhaji boleh diikuti pada pautan berikut:https://youtu.be/MmynxS1BpvU
0 Comments