
Alhamdulillah dan terima kasih kepada SS Dato’ Haji Mohd Yusof, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, atas penerimaan kunjungan kami bersama dengan pegawai-pegawainya.
Saya sebagai Mudir hadir bersama dengan Timbalan Mudir, Mejer Mohd Zaini Mohd Nasir dan Dr Muhammad Yusri bin Mazlan, imam masjid Negeri Sembilan yang juga AJK SINAR.
Pertemuan ini mencatatkan sejarah indah terjalinnya hubungan baik dan kerjasama di antara SINAR dan Jabatan Mufti. Pendidikan Islam terutama untuk pelajar-pelajar muda menjadi topik utama perbincangan kami. Saya memaklumkan tentang kejayaan pelajar-pelajar SINAR yang berada di Mesir.

Saya juga memaklumkan kepada Dato’ Mufti tentang kerjasama yang sedang dijalankan di antara SINAR dan Ma’had al-Buuth Al-Azhar. Pihak Jabatan Mufti mengalu-alukan segala usaha yang dijalankan oleh SINAR dan bersedia memberikan kerjasama. Segalanya dilakukan demi memberi peluang pendidikan lebih baik kepada pelajar-pelajar muda dan berwibawa.
Saya juga menghadiahkan sebuah buku tulisan saya, Ensiklopedia Solat Premium, kepada SS Dato’ Mufti.
Kerjasama erat ini diharapkan dapat membantu dan membangunkan pendidikan Islam di Negeri Sembilan, khususnya dan di Malaysia, amnya.
Allahu Akbar

Ustaz Rohidzir Rais
Mudir SINAR
CATATAN LAPORAN LAWATAN SINAR KE JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN DI FACEBOOK RASMI
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan
KUNJUNGAN HORMAT MUDIR SEKOLAH RENDAH ISLAM NUR AL-AZHAR, PORT DICKSON, USTAZ ROHIDZIR RAIS
Ss Dato Haji Mohd Yusof, Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus pada hari ini menerima junjungan daripada mudir Sekolah Rendah Islam Nur Al-Azhar, Ustaz Rohidzir Rais.
Sekolah Islam Nur al-Azhar atau singkatannya SINAR adalah sebuah pusat pengajian Islam yang memberikan alternatif kepada pendidikan Islam sedia ada. Ia ditubuhkan atas kesedaran melahirkan sekumpulan ulama yang benar-benar menguasai bidang pengajian Islam dan dalam masa yang sama memahami ilmu-ilmu lain sebagai pelengkap keilmuan mereka. Masyarakat Islam Malaysia semakin berkecamuk disebabkan oleh pelbagai kontroversi yang mencarik perpaduan umat. Lalu kumpulan ulama yang akan dilahirkan ini diharap menjadi solusi kepada kemelut ummat dan bertindak sebagai sinar yang menerangi masyarakat Muslim negara ini.
Jabatan Mufti Negeri, Negeri Sembilan memberi komitmen terhadap apa yang dirancang oleh Sekolah Rendah Islam Nur Al-Azhar dalam rangka kerja melahirkan ilmuan Islam yang hebat dan berketrampilan. Pelbagai isu dibincangkan dan beberapa kerjasama yang dirancang bagi mengukuhkan komitmen bersama antara Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dengan pihak sekolah.
Terima kasih atas hadiah buku Ensiklopedia Solat Premium yang ditulis oleh Mudir Sekolah sendiri. Semoga buku yang dikarang memberi manfaat kepada masyarakat Negeri Sembilan dan Port Dickson umumnya

0 Comments