Semakin ditohmah, semakin bertambah…
Semakin dikeji, semakin dicari… itulah sekolah agama.
Sabtu, 9 November 2019, saya sebagai mudir SINAR bersama Timbalan Mudir, Ustaz Mejer Zaini bersama membentangkan silibus dan gagasan pendidikan SINAR kepada ibubapa yang berhasrat menghantar permata hati yang paling mereka kasihi ke SINAR.

SINAR bukan sekolah tahfiz, walau tahfiz adalah salah satu subjeknya. Bukan juga sekolah pondok, tetapi penguasaan Nahu dan Sorof para pelajar amat membanggakan selain kebolehan bertutur dan membaca teks Arab tanpa baris dan makna, malah membaca akhbar dan majalah Arab.
Kerana itu, masa yang panjang diperlukan bagi menjelaskan dan memahamkan ibubapa ini sebelum mereka memutuskan untuk mewaqafkan anakanda kesayangan mereka ke jalan ini. Jalan yang tidak akan dihamparkan permaidani merah, malah hanya darah merah dan air mata pasrah!

Lebih 60 permohonan diterima dari seluruh Malaysia sebelum disaring hingga tinggal kurang 40 calon yang dipanggil untuk temuduga. Mereka yang lulus pula akan meneruskan tapisan yang kedua melalui kursus tiga minggu Kefahaman al-Quran dan Bahasa Arab.
Ujian berrtulis dan bacaan Quran dan hafazan setengah muka surat mushaf adalah amat ketat. Sepanjang lima tahun ujian ini dijalankan, hanya 5 orang yang akan mendapat markah A atau kurang. Tetapi kali ini, hampir 10 orang mendapat A yang menunjukkan kualiti calon yang datang amat luar biasa.

Apakah boleh dikatakan bahawa ibubapa mereka bodoh atau cuai kerana memasukkan anak-anak mereka yang cemerlang di sekolah biasa ke SINAR yang berpaksikan pendidikan bercanggah dengan arus perdana?
Masakan ibubapa mereka bodoh, jika yang datang kebanyakanya adalah para guru sekolah kebangsaan yang mengajar murid lain silibus arus perdana, tetapi tidak percaya dengan silibus yang mereka sendiri ajarkan. Terdapat beberapa orang pensyarah sama ada dalam bidang agama atau bidang kepakaran lain, tetapi memilih untuk anak mereka sekolah yang ‘tiada masa hadapan’, jika masa hadapan yang dimaksudkan adalah SPM!
Ibubapa yang bekerjaya sebagai doktor dan pekerja kolar biru juga ramai dan bersedia menitipkan anak mereka di SINAR. Lebih mengharukan, terdapat ibubapa yang berpendapatan rendah yang kelihatan tidak mampu dengan yuran SINAR yang tinggi tetap tekad menghantarkan anak ke sini dengan janji, “Saya sebagai ayah akan mencari di mana sahaja belanja, asalkan anak saya mendapat pendidikan agama terbaik di SINAR.”
Lebih aneh, terdapat beberapa orang ibubapa yang telah mempunyai seorang atau dua orang anak yang belajar di SINAR, mereka menghantar lagi anak-anak yang lain.




Lebih menyentap rasa, apabila ibubapa yang anak sulung mereka telah tamat pengajian di SINAR dan dihantar menyambung pelajaran ke Buuth al-Azhar, Mesir, membawa dua orang lagi adik kepada pelajar lama untuk juga belajar di SINAR. Mengapa? Saya bertanya kehairanan. “Adik-adik bersemangat mengikut jejak abang mereka belajar di SINAR dan seterusnya ke al-Azhar, Mesir.”
Dan untuk pertama kali, sejak lima tahun penubuhan SINAR, saya hampir menitiskan air mata di hadapan ibubapa baru ketika menceritakan kisah suka duka membimbing anak-anak SINAR yang pelbagai ragam dan kemampuan. Apakah saya sudah tua hingga kenangan-kenangan seperti ini acap kali mengundang sebak di dada.
Atau SINAR itu telah menjadi akar pohon asam jawa yang tertanam jauh ke dalam nurani ini hingga sukar untuk dicabut lagi. Melainkan dengan membunuh nurani ini.
SINAR2020… Tebarkan CahayaMu
Ustaz Rohidzir Rais,
Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) yang Keras Kepala!
Ustaz Mejer Mohd Zaini bin Mohd Nasir,
Timbalan Mudir yang setia menemani.
0 Comments