
Mesir dan Firaun bukan sekadar kajian dangkal tentang ketinggian binaan yang dibina dan kesan-kesan peninggalan ketamadunnya yang hebat.
Sepanjang membaca dan memerhatikan bacaan tentang Mesir dan khususnya tentang Firaun, amat sukar mendapatkan data dan maklumat yang kukuh dan meyakinkan tentang tamadun yang pertama dan utama ini, Mesir. Membaca buku-buku sirah yang lama dan baru, juga tafsir, penceritaan hanya mengfokuskan Mesir berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap para rasul yang tercatat di dalam al-Quran.

Lalu kerana kisah-kisah ini berlaku secara berasingan dalam sejarah ketamaduan Mesir yang maha panjang, sisi lain pada period berbeza ini tidak diambil peduli. Malah perkara-perkara yang sebenarnya memberikan impak besar kepada kejadian yang disebutkan di dalam al-Quran juga tidak begitu diambil perhatian. Jelasnya, kita melihat kajian sejarah sama ada yang disebutkan di dalam al-Quran atau tidak sebagai objek untuk mengambil iktibar secara kasar dan umum dan penyedap isi ceramah singkat di masjid dan surau.
Tidak pula kandungan elemen sejarah yang kental di dalam Kalam Allah ini mendorong umat Islam untuk mendalami bidang sejarah dan arkeologi. Tidak juga kedengaran para asatizah menyarankan agar para anak muridnya menceburi bidang-bidang ini sebagai tuntutan fardhu kifayah sekurang-kurangnya.

Sebuah tamadun terbesar dunia dan menjadi antara yang terawal seperti tamadun Mesir ini tidak mampu difahami dengan mudah. Jangka hanyatnya yang bermula sejak hampir 3000 tahun sebelum Masihi sehingga kejatuhan pada era pemerintahan Cleopatra mencatatkan perjalanan penting ketamadunan manusia.
Tidak hanya secara fizikal, tamadun yang dibina dalam akidah manusia juga mengalami perkembangan yang pesat dan kemerosotan. Mengkaji kepercayaan bangsa Mesir purba pada zaman kemerosotan akidah menyaksikan cebisan kepercayaan bertuhan yang masih jelas walau pun penyelewengan akidah berlaku secara besar-besaran.
Sebagai contoh, tujuan penciptaan piramid yang banyak di Mesir juga berkaitan dengan kepercayaan bahawa manusia yang mati akan dibangkitkan semula. Akidah yang sama dengan pegangan orang Islam tentang kebangkitan semula selepas mati. Mizan dan pengadilan pada hari pembalasan juga diyakini oleh bangsa ini. Semua kepercayaan ini dibuktikan melalui catatan pada maqam-maqam yang ditemui dan juga pada dinding-dinding.

Namun kepercayaan ini mengalami penyelewengan yang dilakukan oleh para rahib yang bersekongkol dengan pemerintah ketika itu. Sehingga mereka percaya bahawa manusia akan dibangkitkan kembali atau reincarnation berdasarkan kebaikan dan kejahatan yang dilakukannya di dunia ini, dan bukannya di syurga dan neraka. Kerana itu mereka menggunakan kemahiran kimia yang Allah kurniakan untuk mengawet tubuh para raja mereka agar dapat dibangkitkan kembali. Mereka juga mahu memelihara jasad para raja ini, lalu pembinaan piramid dicadangkan.
Melalui kemajuan dalam bidang kejuteraan yang menandingi zaman hari ini, bangsa Mesir membina piramid untuk tujuan ini. Iaitu agar raja-raja mereka dibangkitkan kembali dalam jasad yang sama. Kerana itu, keranda-keranda mereka dibina berlapis-lapis dan dipenuhi barangan kemas dan harta yang banyak. Kononnya agar tuhan mengenali roh raja mereka.
Mungkin dakwaan bahawa pembinaan piramid kerana Firaun mahu melihat tuhan Nabi Musa sebagaimana didakwa oleh sebahagian asatizah perlu dikaji semula.
Dan ini hanya satu fakta ringkas yang belum menyeluruh. Lalu bagaimana Firaun Ramses II berubah akidahnya sehingga mendakwa dirinya tuhan?
Ustaz Rohidzir Rais
Kaherah, Mesir
0 Comments