
Ziarah saya ke makam Imam Syafii di Kaherah pada siang tadi meninggalkan kesan yang mendalam. Entah kenapa sosok ini dirasakan begitu dekat dengan hati. Bukan hanya kerana kita mengikut mazhabnya. Lebih utama, kerana silibus yang disusun di Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) adalah saranan daripada beliau dan inspirasi daripada kisah hidup sebenarnya. Sila lihat profil SINAR pada pautan berikut untuk keterangan lanjut https://sinarazhari.com/profil-sinar

Imam Syafii adalah seorang anak kecil yang dikurniakan kebijaksanaan dan akal yang mengatasi usianya dan orang dewasa yang lain. Kecintaannya kepada ilmu juga membawa beliau ke merata tempat demi memburu guru yang hebat dan ilmu. Bagaimana sekiranya, Imam Syafii ini dinafikan haknya atas faktor usianya yang terlalu muda? Mazhab Syafii mungkin tidak wujud!
Demikian juga kisah awal perguruannya dengan Imam Malik juga memberikan inspirasi yang besar. Terpedaya dengan tubuh cilik Syafii yang masih terlalu mentah, Imam Malik enggan mengajarkannya kerana beranggapan beliau belum berkemampuan. Malah setelah diyakinkan untuk diterima sebagai murid juga sekali lagi Imam Malik tersalah pertimbangan apabila meminta Syafii membawakan seseorang untuk membacakan kitabnya, al-Muwathi’. Sedangkan Syafii mampu membacanya sendiri kerana penguasaan Bahasa Arabnya yang cemerlang. Bahkan dia telah pun menghafaz keseluruhan kandungan kitab itu!
Kunjungan hari ini mengenangkan saya kepada anak-anak SINAR yang juga belajar dalam usia yang amat muda. Mereka juga mencintai ilmu dan berjuang meninggalkan keluarga dan tanah air demi menagih ilmu. Apakah mereka akan disekat daripada mengejar cita-cita mereka? Hanya kerana satu dosa besar yang mereka lakukan, iaitu menjadi bijak dalam usia muda!
Ketika kemudaan seorang penuntut ilmu menjadi sumpahan yang meragut hak mereka untuk belajar di negara sendiri, mereka saya terbangkan ke bumi Mesir ini. Bumi tempat jasad Imam Syafii dikebumikan.
Alhamdulillah, ketika ‘diusir’ dari negara sendiri, al-Azhar memberikan naungannya kepada anak-anak SINAR yang tidak berdosa ini. Mereka diterima masuk ke Ma’had al-Buuth al-Azhar tanpa melihat kepada usia mereka. Malah beberapa peraturan berkaitan usia juga diberikan pengecualian demi anak-anak ini. Pelajar berusia 13 tahun diterima masuk ke peringkat Tsanawi yang mensyaratkan usia 15 tahun ke atas. Demikian pelajar semuda usia 15 tahun diterima masuk ke kuliah di Universiti al-Azhar yang mensyaratkan usia 17 tahun ke atas.
Semua keistimewaan ini bukan kerana pilih kasih atas tangan ghaib yang mengambil bahagian. Tetapi ia adalah pengiktirafan yang tinggi kepada pelajar-pelajar muda Malaysia yang mendapat keputusan yang tinggi dalam akademik. Lalu pengecualian diberikan kepada mereka. Tidakkah kita patut berbangga dan berbesar hati dengan pengiktirafan ini?

Sememangnya niat asal saya semasa penubuhan SINAR adalah melahirkan lebih ramai Imam Syafii di bumi Malaysia. Kerana itu, syarat-syarat yang digariskan oleh Imam ini saya turuti. Dan mematuhi syarat-syarat ini juga bererti bercanggah dengan sistem pengajian arus perdana dan juga pengajian Islam lain.
Lalu apakah Imam-Imam Syafii Malaysia ini akan disekat?
Kita memerlukan lebih ramai Imam Syafii yang mempunyai ilmu yang tinggi dan melengkapi bagi meredakan kucar kacir yang ditimbulkan oleh Imam Syafii palsu di Malaysia. Justeru itu, kita mengharapkan lebih ramai Imam Malik yang tampil membela dan merendahkan diri membimbing anak-anak muda ini.
Apakah ada Imam Malik dalam kalangan kita?
Ustaz Rohidzir Rais
Mudir dan Pengasas SINAR
23 Jun 2022
10.06 PM
Tahrir, Kaherah, Mesir
0 Comments