Sebuah Certot oleh Raja Harraz

“Huh, huh. Arghh! Aku tidak mampu. Maafkan aku, Wasim. Aku tidak menyangkakannya,” ujarnya di dalam hati dengan nafas yang tercungap-cungap. Darah Wasim yang terpercik ke wajahnya dalam keadaan segar dan panas masih belum sempat disekanya. Kepala Wasim yang masih berguling hanya mampu dilihat sahaja.
Tentera musuh yang berpakaian serba hitam tidak membiarkannya sempat mengambil nafas. Usai mereka membunuh Wasim, dia terus dikepung dari pelbagai arah. Dan yang paling dianggap berbahaya olehnya, di hadapannya. Atau lebih tepat, arah timur laut daripadanya.
Apabila diteliti, dia dapat mengetahui bahawa musuhnya itu berpangkat kadet, sama sepertinya. Dan sekarang, dia juga mengetahui, yang musuhnya itu tersilap langkah. Dan dia mempunyai peluang yang sangat besar untuk menamatkan riwayat musuh tersebut, sekali gus meringankan beban pasukannya yang diketuai oleh Sultan Al Mustaghfir Ilallah. Dia mengeluarkan pedang, bersiap siaga.
“Bismillahirrahmanirrahim!!” Laungnya kuat. Lawannya hanya tertunduk, mungkin sekadar pasrah di atas kesilapan langkahnya tadi. Dia hanya berharap, lawannya yang merupakan tentera pasukan Putih itu juga tersilap langkah kerana dengan kesilapannya, dia pula akan mendapat peluang memenangi situasi tersebut.
‘Dup,’ bunyi satu kepala gugur menyembah bumi. Satu kepala lain sedia terangkat. Mujur, kepala yang terangkat ialah milik askar yang sudah menghunus pedang tadi. Membawa maksud bahawa yang mati itu ialah tentera pasukan Hitam. Ternganga Qasim, askar pasukan Putih tadi, kerana dia belum sempat menyasarkan apa-apa lagi dan tiba-tiba, kepala lawannya jatuh.
“Bagai…. mana..kah?” Baru sahaja soalan tersebut meluncur keluar dari mulutnya, dia sudah maklum akan jawapannya apabila melihat seorang tentera lain, serba putih, berserban megah, menggunakan sebilah pedang yang hilirnya bercabang dua, melintasi di hadapan Qasim dengan pedangnya yang masih ada kesan darah.
Maka dia tahulah bahawa tentera berpangkat Koperal tersebutlah yang membunuh musuhnya tadi.
“Terima kasih, Tuan,” ujar Qasim dengan penuh kesyukuran. Masih jelas pada wajahnya perasaan takjub melihat kehandalan Koperal Muaz tadi. Tangannya naik mengangkat tabik hormat.
“Sama-sama, Kadet Qasim. Kamu perlu fokus. Kamu tidak sedar ada tentera lain yang menyasarkan kamu. Mujurlah aku datang, menolak sedikit tubuh kamu tadi. Jika tidak…..” Koperal Muaz membuat isyarat dengan tangan diletakkan pada leher serta mata menjeling ke atas. Membawa maksud MATI.
“Maaf Tuan,” akur Qasim. Dia rasa sungguh bersalah.
Koperal Muaz mengangguk perlahan. Dia tiba-tiba berkata dengan nada sinis, namun dengan suara yang nyaring, “Heh, tiadalah kuat sangat pasukan Raja Heraxliuz. Kononnya begitu kuat, padahal, hanyalah tin kosong yang banyak berbunyi.” Pasukan Raja Herazxlius merujuk kepada pasukan Hitam.
Serta-merta pecah tawa Koperal Muaz. Namun, belum sempat tawanya habis, kepalanya juga berguling, dan berhenti tepat pada kaki Qasim.
Ternganga Qasim, terbeliak matanya. Badannya juga menghasilkan reaksi dengan menggeletar, sehinggakan pedangnya yang digenggam erat tadi terjatuh serta-merta.
Koperal Muaz telah MATI.

Kepala Qasim mendongak. Barulah dia sedar, siapakah gerangan yang membunuh Koperal Muaz tadi. Komander Joshruae, yang berulang-ulang kali diceritakan sebagai seorang yang bengis, ganas, tidak berperikemanusiaan dan sangat dahagakan darah. Padanlah dengan wajahnya yang agak banyak berparut dan calar-calar. Dia juga dikatakan sangat setia dengan Raja Heraxliuz. Dalam pasukan Hitam itu, dia boleh dikatakan sebagai pembawa bendera.
“Inilah balasan kepada sesiapa yang menghina kemuliaan Tuanku Heraxliuz. Jangan dicabar pasukan kami!!!” Laungnya kuat. Sambil memijak dada jasad Koperal Muaz yang tidak lagi berkepala.
Maka letuslah amarah Komander Joshruae. Sekejap sahaja banyak kepala pasukan Putih sudah berpisah dari badan. Sama seperti hilangnya roh dari jasad.
Sultan Al Mustaghfir Ilallah tidak membiarkan tenteranya dibantai begitu sahaja. Baginda terus menitahkan Sang Wira Perkasa untuk maju menyekat amarah Komander Joshruae.
Sang Wira Perkasa tidak berlengah, lantas maju ke arah pembawa bendera musuh yang sedang dikawal nafsunya. Mata kedua mereka bertembung. Tanpa bazir sesaat pun, mereka terus memulakan pertarungan. Tiada kata-kata pelemah semangat, penambah semangat atau budi bicara lagi. Yang tinggal hanya satu, salah seorang daripada mereka akan MATI.
Pertarungan di antara mereka berdua terlalu hebat, sehinggakan mata kasar tidak dapat mengesannya. Semua tentera terkejut apabila mereka terlihat kedua-dua mereka telah MATI. Dan pedang masing-masing menembusi lawannya. Tiada lagi nyawa pada jasad mereka.
“Serang!!!!” Titah Raja Heraxlius, tidak membiarkan semua tentera tercengang. Selepas itu, keadaan yang lengang terus menjadi haru-biru dan kucar-kacir.
Semua tentera dari kedua-dua belah pihak menunjukkan taring masing-masing. Tiada lagi yang disebut belas kasihan. Kepala melayang sana sini. Darah membanjiri tanah. Raungan sakit tidak pernah tiada, cuma tidak dihiraukan. Atau lebih tepat, tiada masa untuk menghiraukan yang lain. Masing-masing hanya cakna dengan diri sendiri.
Masa berlalu begitu pantas. Jumlah tentera pasukan Hitam kelihatan sangat sedikit berbanding pasukan Putih. Kebanyakan tentera pasukan Putih sudah mula merobek senyuman.
Namun, dengan tiba-tibanya, Permaisuri Alexaplia, isteri kepada Raja Heraxliuz maju ke hadapan, mengancam kedudukan Sultan Al Mustaghfir Ilallah. Sihir sang permaisuri terlalu utuh untuk dipatahkan. Sultan tersentak. Dia sedar, dia sudah tidak mampu ke mana-mana.
Jadi, keputusannya, pasukan Putih kalah, pasukan Hitam menang tanpa disangka-sangka.
“Maaf, tenteraku. Aku tidak menjangkakan ini. Maaf. Maaf. Maaf.” Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh Sultan Al Mustaghfir Ilallah. Tentera lain hanya memandang dengan penuh sayu. Tiada dalam fikiran mereka bahawa mereka akan kalah, walhal bilangan musuh hanyalah sedikit. Maka tamatlah peperangan ini.
“CHECKMATE!!! Hahahahhahahhahahahahahahahahhaha! Aku menang, Zubair. Engkau kalah.” Ujar Zaim dengan penuh gembira. Papan catur itu terus dibiarkan dia berlari keliling bilik, meraikan kejayaannya.
“Ah, aku Cuma berikan engkau peluang. Kalau tidak, sudah pasti engkau menangis teresak-esak akibat kalah main catur,” balas Zubair. Mungkin untuk memujuk dirinya juga. Namun dia tidak dapat menyembunyikan riak kecewa dari wajahnya.
“Zaim! Zubair! Tidur! Esok mahu sekolah. Cepat tutup lampu, naik ke katil. Selepas itu terus lelapkan mata.” Seperti guruh yang turun, tersentak kedua-dua pasangan kembar tersebut mendengar pekikan ibu mereka.
Lantas dikemas papan catur dan buahnya.
“Engkaulah ini, habis ibu marah,” bebel Zubair. Zaim hanya membalas dengan jeliran lidah.
Zubair tersenyum. ‘Esok aku akan tebus kekalahan aku. Pasti.’
““““““““““““““““““““`
0 Comments