Sebuah certot oleh Rohidzir Rais

Dia berjalan perlahan-lahan ke bangku panjang yang disediakan di tepi taman itu. Dia berusaha sebaik mungkin untuk melangkah dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan bunyi. Lelaki yang duduk di atas bangku itu tidak sepatutnya diganggu. Entah kenapa sosok pemuda dengan wajah yang kusut masai ini menarik perhatiannya. Ada sesuatu yang menjentik nuraninya untuk mendekati pemuda ini.
Dia duduk sedikit agak jauh daripada pemuda ini yang seolah-olah tidak menyedari kehadirannya. Dia bagaikan tenggelam di dalam alamnya yang tersendiri. Fana di alam duka dan kekecewaan mungkin. Itu yang boleh disimpulkannya. Atau mungkin pengalaman berapa lama di dalam alam yang sama suatu masa dahulu membantunya mengenali situasi pemuda ini. Dia tahu perasaan itu. Dia masih tidak melupakan peritnya kekecewaan. Pemuda ini perlu dibantu. Dia menanam tekad.
Anak muda ini bagaikan baru terbangun daripada lena yang maha panjang ketika mendengar suaraku yang sengaja berdeham. Dia memusingkan kepalanya dalam keadaan malas ke arahku. Terganggu mungkin dengan kewujudanku yang tidak diundang. Wajahnya cengkung, rambut sederhana panjang tetapi kerana tidak diurus dengan rapi menjadikannya serabut. Baju kemeja yang dipakainya kelihatan lusuh dan tidak bergosok. Jambang dan misai juga tidak terurus. Manusia di hadapannya ini memenuhi semua ciri-ciri insan yang sedang kecewa.

Pandangan mata yang kuyu tanpa suara itu sudah cukup berbicara sepenuhnya tentang hati yang remuk ditinggalkan. Aku merenung dalam ke mata hitamnya, seolah-olah menyelami seluruh laut penderitaannya. Lirik matanya bagaikan bercerita tentang penderitaan apabila ditinggalkan cinta ketika cinta masih subur di dalam dirinya. Sungguh, menyintai ketika ditinggalkan amat menyakitkan. Aku mahu memberitahunya bahawa aku tahu kerana aku juga pernah lemas dalam deras ombak yang sama. Sakit, pedih dan tidak mampu bernafas. Kerana cintalah udara yang selama ini memberikan nafas.
Aku mahu menyentuh bahunya memintanya agar bertenang, kalau tidak mahu sentuhan fizikal ini disalah tafsirkan. Aku mahu dia tahu bahawa dia mampu menghapuskan cinta yang melemaskan itu, andai dia mahu kembali bernafas. Dia perlu tega menghapuskan cinta itu agar cinta lain dapat bersemi lagi. Kau mungkin derita kerana cinta yang hilang tetapi membiarkan diri tanpa cinta itu adalah penderitaan. Percayalah wahai anak muda! Aku tahu. Kerana aku juga pernah kehilangan cinta. Kerana aku pernah mengambil masa yang lama untuk menghapuskan sebuah cinta. Dan hari ini, si tua ini bersedia menyemai cinta baru.
Kau juga pasti mampu melakukannya wahai anak muda. Hapuskan rasa cintamu!
Secara tiba-tiba, anak muda ini berpaling ke arahku dengan wajah berbeza. Tiada lagi awan hitam yang membelenggu wajahnya. Tetapi sinar pelangi yang berwarna warni. Apakah dia tergerak dengan semangat yang aku berikan lalu bersedia untuk bangun kembali mencari cinta. Sinar matanya yang redup dan murung sebentar tadi menjadi mentari yang memancarkan sinar. Sinar bahagia. Sinar cinta baru mungkin.
Dia berdiri dengan pantas dan memusingkan tubuhnya ke arahku. Kedua-dua tangannya didepakan bagaikan mahu memeluk sesuatu. Aku juga berdiri menghadapnya. Ah! Jika dia memerlukan sebuah pelukan bagi merungkai kemelut dukanya, pasti aku berbesar hati memberikannya. “Cinta!” sepatah kata-katanya menyebabkan langkahku terhenti. Bala apa pula! Mengapa seorang anak muda yang sedang kecewa ini melafazkan cinta kepada si tua sepertinya. Apakah…?
Belum sempat aku mendapat jawapannya, pemuda ini tiba-tiba bergerak melepasi aku lalu tunduk dan mengambil sesuatu di tanah. “Cinta! Ke mana kau pergi. Puas aku mencari mu.” Aku mendengar tutur katanya dengan penuh panasaran. Dia lalu memeluk dan mencium sesuatu dalam dakapannya. Ciuman yang hangat dan pelukan yang mesra.
Hanya setelah pemuda ini berjalan meninggalkan aku dan meletakkan ‘cinta’nya di bahu, baru aku dapat melihat ‘cinta’ itu yang berbulu putih gebu dan menjilat-jilat kakinya. Pemuda itu meninggalkan aku bersama ‘cinta’nya dalam keadaan aku termangu-mangu. Aku mahu menjeritkan kepada pemuda pencinta makhluk berbulu itu melepaskan amarahku. Tetapi yang keluar hanya, “meow…”
Tamat
0 Comments