
Ketibaan saya bersama pelajar baru dan ibubapa disambut oleh pelajar-pelajar SINAR yang telah berada di Kaherah. Ada yang sudah tiga tahun dan ada yang baru setahun.
Cuma kali ini, mereka menjadi krew yang membantu rombongan kami. Melihat kelincahan mereka bergerak mengangkat beg-beg yang seberat 23 kg dan berinteraksi dengan orang Mesir yang membawa kenderaan, saya hampir terlupa bahawa ini adalah anak-anak muda, kanyia’ dan kecil yang pernah saya hantar dahulu.
Mesir mendewasakan mereka.
Hidup jauh dari ibubapa di sebuah negara panas yang mempunyai penduduk yang padat adalah ujian yang berat. Dan ujian yang berat dan sukar itulah yang sebenarnya menjadi seorang itu matang dan tabah.

Bahasa ammiy mereka juga semakin hebat dengan intonasi tinggi seperti orang Mesir juga. Sudah pandai memujuk Arab dan bertekak dengan mereka. Walad Misr!
Kelas yang padat dan subjek yang banyak serta peperiksaan yang kerap juga memaksa minda mereka bergerak dengan lebih pantas. Kematangan minda, akhlak dan tubuh dalam persekitaran yang mencabar.
Mereka berjalan laju dan melangkah luas seperti mengejar masa. Tubuh juga kelihatan sihat dan semakin sasa. Saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan mereka dengan pelajar-pelajar yang baru tiba bersama saya. Memang berbeza dengan anak Melayu yang pertama kali meninggalkan negara.
Nampak juga terujanya pelajar yang tiba bertemu kembali dengan pelajar-pelajar senior yang pernah menjadi sahabat, mentor dan guru mereka di SINAR. Hari ini mereka akan mengikut jejak langkah rakan-rakan mereka menjadi sebahagian daripada Al-Azhar.
Saya dan isteri juga disambut oleh pelajar-pelajar perempuan di rumah tempat kami menumpang. Ada yang baru pulang dari Buuth kerana Imtihan.

Saya berpesan kepada mereka, ini baru 10 orang pelajar, nanti akan datang 15-20 orang pelajar lagi. Kamu semua yang diharapkan membantu menguruskan pelajar-pelajar baru ini. Sudah tentu ia termasuk mencari rumah sewa dan peralatan rumah sehingga pendaftaran pelajar ke Buuth dan Azhar.
Ikatan Lepasan SINAR perlu cergas beraksi.
29 orang pelajar sudah berapa di bumi Mesir ini.
Alhamdulillah
Ustaz Rohidzir Rais
Mudir dan Pengasas SINAR
0 Comments